Unit
Psikospiritual IKRAM (PSI) merasa sedih atas kematian seorang bayi
berusia dua bulan, Nor Areesa Sofea Jiry pada Sabtu, 4 Februari 2017,
seperti yang dilaporkan media massa. PSI ingin mengucapkan takziah
kepada ibu serta keluarga bayi. Semoga ibu serta keluarga terus
dikurniakan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang berat
ini.
Detik
bersalin dan berpantang merupakan detik yang indah dan juga mencabar.
Oleh itu, adalah perkara biasa sekiranya seseorang wanita berasa sedikit
cemas, cepat marah dan mengalami kecelaruan emosi selepas bersalin (postnatal blues). Selalunya ianya reda sekitar 10 hari kemudian dan tidak memerlukan apa-apa rawatan.
Namun
begitu, dianggarkan seorang daripada 1,000 orang wanita selepas bersalin
mengalami penyakit mental yang lebih serius. Contoh gejala yang boleh
berlaku adalah mendengar suara (yang orang lain tidak dengar), percaya
kepada sesuatu yang tidak benar (contohnya: percaya bahawa beliau tidak
selamat kerana komplot yang ingin menganiayainya), perubahan emosi yang
mendadak, perubahan percakapan daripada biasa (contohnya: menjadi
pendiam atau terlebih peramah).
Antara
faktor yang menyumbang kepada gejala tersebut adalah perubahan hormon,
tidak cukup tidur serta faktor keturunan. Wanita yang mengalami
gejala-gejala tersebut perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan
segera.
Terdapat
rawatan berkesan di mana-mana pusat rawatan yang menyediakan
perkhidmatan psikiatri dan/atau psikologi klinikal. Rawatan perlulah
holistik dengan mengambil kira kesemua aspek biologi, psikologi, sosial
dan spiritual.
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya, daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda:
مَا أَنْزَلَ اللهُ دَاءً إِلَّا أَنْزَلَ لَهُ شفَاءً
“Tidaklah Allah turunkan penyakit kecuali Allah turunkan pula ubatnya.”
Walaupun ruqyah
merupakan salah satu kaedah penyembuhan, hadis tersebut menyarankan
agar kita mendapatkan apa-apa rawatan yang berkesan. Malah, dalam
tamadun Islam, Ishaq ibn Imran, pakar perubatan yang merupakan pakar
psikiatri pertama Islam, telah aktif merawat pesakit mental sekitar
tahun 224-240H (846-862M). Abu Bakr al-Razi (meninggal 925M), pakar
perubatan tersohor dunia pula telah mendirikan pusat rawatan pesakit
mental yang awal.
Walaupun
kejadian tersebut dikaitkan dengan penyakit mental, PSI ingin menekankan
bahawa secara umumnya, hanya segelintir sahaja individu-individu yang
mengalami penyakit mental bertindak untuk mencederakan orang lain.
Malah, individu-individu yang mengalami penyakit mental lebih cenderung
menjadi mangsa kepada keganasan orang lain.
Salah
faham ini boleh dikaitkan dengan media massa yang kerap melaporkan
kejadian keganasan berkaitan individu-individu yang mengalami penyakit
mental. Persepsi ini haruslah diperbetulkan.
Oleh itu, PSI menyeru ahli-ahli IKRAM serta semua rakyat Malaysia agar mengambil berat dalam isu kesihatan mental dengan:
a) menambahkan pengetahuan mengenai kesihatan mental melalui laman sesawang, rujukan dan pakar-pakar yang diyakini;
b) di samping usaha-usaha ruqyah, memastikan anda mendapatkan bantuan profesional/perubatan;
c) memberi sokongan dan menggalakkan saudara dan rakan-rakan untuk mendapat rawatan profesional/perubatan;
d)
ibu-ibu Muslim yang berada dalam pantang yang masih belum boleh
menyempurnakan solat, amat perlu sentiasa berzikir dan beristighfar.
Ini, insya-Allah, membolehkan diri terus hampir dengan Allah 'azzawajalla dan menjauhkan diri daripada gangguan syaitan.
Sumber: Panel Pakar Psikospiritual IKRAM (PSI) via ikram.org.my
0 komentar:
Posting Komentar