SINGAPURA:
Orang ramai dinasihati supaya jangan membeli atau menggunakan produk
'PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb'.
Ini
setelah seorang pengguna mengalami kesan sampingan serius disebabkan
bahan steroid dan juga mengalami kencing manis selepas mengambilnya,
menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu kenyataan yang
dikeluarkan hari ini (4 Apr).
Produk
itu dipasarkan sebagai penawar herba tradisional untuk pelbagai masalah
perubatan seperti rasa bisa, mati pucuk, penyakit buah pinggang dan
angin ahmar.
Namun, setelah diuji oleh HSA, ia didapati mengandungi beberapa ubat-ubatan barat yang berbahaya dan tidak diisytiharkan.
Ini termasuk dexamethasone, piroxicam, griseofulvin dan paracetamol, menurut kenyataan HSA.
Produk
itu dijual di lelaman media sosial dan juga di lelaman luar negara dan
sesetengah pengguna mungkin memperolehinya daripada rakan-rakan atau
saudara-mara mereka.
KESAN SAMPINGAN: WAJAH MEMBENGKAK, BERAT BADAN NAIK
Menurut HSA, seorang wanita Melayu dalam lingkungan usia 60-an tahun mengambil produk tersebut kerana mengalami sakit lutut.
Ia
dengan cepat membantu melegakan rasa sakit namun berat badan naik
dengan cepat dan wajahnya membengkak setelah menggunakan produk itu
selama beberapa bulan.
Wanita itu
kemudian didiagnosis dengan penyakit kencing manis dan sindrom Cushing,
iaitu satu keadaan yang disebabkan oleh pengambilan steroid pada jangka
panjang dan boleh dilihat kesannya pada wajah yang membengkak atau
dipanggil 'moon face' dan badan yang gemuk namun bahagian kaki dan
tangannya tetap kurus.
Keadaan itu mungkin disebabkan adanya dexamethasone, sejenis steroid berbahaya dalam produk.
Wanita itu membeli produk tersebut menerusi media sosial, menurut HSA.
Menurut
doktor beliau, beberapa pengguna yang mengambil produk tersebut turut
mengalami kenaikan berat badan, yang berkemungkinan disebabkan kandungan
steroid dalam produk.
NASIHAT HSA KEPADA ORANG RAMAI
HSA menasihati mereka yang menggunakan produk "PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb' supaya:
1) Segera berjumpa dengan doktor.
Ini kerana produk tersebut terbukti mengandungi bahan steroid berbahaya.
Jika
pengguna serta merta berhenti menggunakannya tanpa penyeliaan perubatan
yang betul ia boleh menyebabkan kesan sampingan serius seperti
keletihan, kebingungan dan tekanan darah rendah, lebih-lebih lagi
apabila produk sudah diambil melebihi beberapa minggu.
2)
Berhati-hati apabila membeli produk kesihatan secara online atau dari
sumber-sumber yang tidak begitu pasti, meskipun ia disarankan oleh
rakan-rakan dan saudara-mara yang berniat baik. Produk-produk sedemikian
tidak dapat dipastikan di mana dan bagaimana ia dibuat atau bahan yang
terkandung di dalamnya.
3) Berwaspada
terhadap produk-produk kesihatan sampingan, seperti produk kesihatan
tambahan, ubat-ubatan tradisional yang menjanjikan atau menunjukkan
kesan dengan cepat bagi penyakit kronik seperti melegakan kesakitan
dengan cepat.
Ia mungkin dicemari dengan ubat-ubatan doktor yang sepatutnya diambil di bawah penyeliaan perubatan.
Rujuk kepada doktor atau ahli farmasi jika memerlukan bantuan bagi menangani masalah penyakit kronik.
Orang
ramai digalakkan melungsuri laman www.healthdangers.sg untuk
mempelajari lebih banyak tentang bahaya membeli produk kesihatan yang
tidak sah dari sumber-sumber yang tidak diketahui, menurut HSA.
JUAL, BEKAL PRODUK TIDAK SAH
Para penjual mesti segera berhenti menjual produk "PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb'.
Menjual
dan membekalkan produk kesihatan tambahan yang mengandungi bahan
ubat-ubatan berbahaya dan tidak diisytiharkan, adalah satu tindakan yang
menyalahi undang-undang.
Sesiapa yang
didapati membekalkan produk sedemikian boleh didakwa dan jika sabit
kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan/atau didenda sehingga
$100,000.
Orang
ramai yang mahu memperolehi lebih banyak maklumat mengenai penjualan
dan pembekalan produk "PHQ 1001 Khasiat Penawar Herba Qaseh Serata Herb'
atau produk-produk lain yang diharamkan boleh menghubungi Cabang
Penguatkuasaan HSA pada waktu pejabat di talian: 6866-3485 (Isnin hingga
Jumaat) atau mengirimkan emel ke hsa_is@hsa.gov.sg.
Sumber : berita.mediacorp.sg
0 komentar:
Posting Komentar