Kanak-kanak seringkali mengalami batuk dan selsema, dan ia membawa kebimbangan di kalangan ibu bapa. Gejala batuk atau selsema ini bukan sahaja boleh menyebabkan kanak-kanak tersebut tidak selesa sepanjang hari malah kadang-kadang boleh mengganggu tidur. Ibu bapa, dengan niat yang baik, ingin mengubati batuk atau selsema ini.



Menurut Dr Yap Hsiao Ling, batuk adalah satu tindak balas badan untuk membantu mengeluarkan kahak daripada saluran pernafasan. Kebiasaannya, batuk dan selsema yang dialami adalah ringan dan kebanyakan kanak-kanak akan sembuh sendiri tanpa rawatan dalam purata tempoh 10 hari. Seseorang kanak-kanak boleh mendapat demam selsema dan batuk sebanyak 3-8 kali setahun, terutamanya mereka yang bersekolah, terdedah kepada jangkitan oleh orang dewasa atau kanak-kanak lain, serta terdedah kepada asap rokok.