PENGGUNAAN herba yang merupakan tumbuhan semula jadi
di negara ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia,
dilihat berpotensi untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara.
Herba digunakan meluas terutama dalam penghasilan produk dalam industri
farmaseutikal, ubatan tradisional, penjagaan kesihatan, makanan dan
minuman kesihatan, kosmetik, pewarna, perisa dan pewangi.
Mahu memperkenalkan kebaikan herba dari hutan tropika Malaysia di
peringkat antarabangsa, Syarikat Gitex Global Exhibition Services akan
menganjurkan Pameran Herbal Asia 2017 kali ke-10 yang bakal berlangsung
di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 20 hingga 22
September depan, bertemakan 'Towards Sustainable Marketplace for Herbal,
Green, Natural Product & Services'.
Penganjur yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Gitex Global
Exhibition Sdn Bhd dan pengasas Pameran Herbal Asia, Hajah Safinah
Yaakob berkata, pameran itu menyasarkan RM10 juta jualan dan transaksi
berbanding RM5 juta pada siri kesembilan lalu.
“Setakat ini, 200 pempamer akan ambil bahagian dalam pameran tersebut.
Kami menjangkakan banyak transaksi dapat dimeterai selepas acara itu
dengan kemungkinan syarikat memesan bahan mentah selain usaha sama dan
kerjasama tentatif dengan syarikat tempatan.
“Dengan matlamat meningkatkan standard antarabangsa pameran itu,
Investor Exchange diadakan dengan sasaran untuk membawa masuk pelabur
luar dalam memacu inovasi dan peluang,” katanya kepada Sinar Harian,
baru-baru ini.
Safinah berkata, Herbal Asia menjadikan Malaysia sebagai antara hab
dagangan utama di Asia Tenggara dan melalui pameran itu, pelabur asing
menyedari terdapat sumber yang belum dimanfaatkan dalam negara yang
perlu diterokai.
"Melalui permintaan dan pemadanan online yang diterima, pelawat
berdaftar ingin melabur di Malaysia kerana Malaysia mempunyai herba
berkualiti yang dapat menepati permintaan pasaran kesihatan dunia,"
katanya.
Tambahnya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri
Wilfred Madius Tangau dijangka bakal merasmikan acara itu pada 20
September ini dan majlis penutup pula dirasmikan Timbalan Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya keesokannya.
“Herbal Asia 2017 juga akan mengadakan majlis meraikan media dalam dan
luar negara untuk memperkenalkan herba dan bahan semula jadi, manakala
Investor Exchange akan diadakan 19 September," katanya.
Potensi ketum, merungai
Pada pameran kali ini, antara herba dan bahan semula jadi yang
diketengahkan ialah ketum, merungai dan spirulina yang berpotensi besar
dalam industri herba.
Safinah berkata, antara topik berkaitan ketum yang akan dibincangkan
ialah cara penggunaan dan kebaikan ketum dalam kehidupan seharian serta
undang-undang mengenai penyalahgunaan ketum.
“Sejak zaman berzaman, ketum menjadi antara herba yang digunakan dalam
membantu mereka yang cirit birit, kencing manis, gout, kecacingan,
memberikan sumber kekuatan tenaga, darah tinggi dan membaiki peredaran
darah,” katanya.
Bagaimanapun, jika penggunaannya secara salah, ia berbahaya dan menyebabkan penggunanya ketagih.
“Ia penting untuk dibincangkan supaya pengusaha herba yang
mengkomersialkannya dapat didedahkan mengenai penggunaannya dengan cara
yang betul, ketum digunakan sebagai rawatan alternatif dan penyelidikan.
Negara memerlukan usaha untuk menyelidik potensi dan khasiat ketum
supaya ia dapat memberikan manfaat kepada penggunanya,” katanya.
Safinah berkata, selain ketum, merungai atau kacang kelur dan spirulina
juga akan dibincangkan pada pameran itu kerana kedua-dua herba itu kini
mula dikomersialkan syarikat tempatan.
“Persidangan ini akan membincangkan mengenai industri baharu yang boleh
menjadi sumber pendapatan. Peluang ini perlu direbut usahawan pertanian
dan pengusaha bahan mentah kerana spirulina mempunyai sumber protein
dan kalsium tinggi yang sesuai digunakan untuk kecantikan dan
farmaseutikal.
“Pameran ini beri peluang kepada pengusaha tempatan mengadakan
kerjasama dengan syarikat luar untuk melihat potensi ketiga-tiga herba
ini menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
14 penceramah terlibat
Setelah 10 kali pameran ini diadakan, Safinah mahu industri herba
Malaysia ke peringkat antarabangsa serta mengetengahkan industri herba
dengan lebih profesional dan mampan.
“Persidangan ini ketengah potensi dan isu herba serta inovasi terkini
dengan menampilkan pakar dalam dan luar negara walaupun kesediaan
industri agak perlahan disebabkan permintaan dari industri itu sendiri.
“Kami bawa pemain industri herba ke satu platform yang berdaya saing,
ada rantaian permintaan dan penawaran konsisten. Kami jangka penambahan
15 peratus pertumbuhan tahunan penggunaan produk bahan mentah,
penglibatan syarikat produk tempatan, malahan dengan adanya Herbal Asia
membantu mengetengahkan industri herba tempatan ke pasaran luar dengan
konsisten setiap tahun,” katanya.
Safinah berkata, pada tahun ini, seramai 14 penceramah dalam dan luar
negara akan berkongsi inovasi herba dan kejayaan beberapa negara seperti
Taiwan, China, India dan Jerman.
“Negara-negara ini berjaya menginovasi herba dan jadikan produk untuk
penuhi kehendak industri kesihatan, farmaseutikal, kecantikan dan
sebagainya,” katanya.
Dalam pameran itu, kebanyakan peserta baharu adalah dari India, China,
Singapura, Taiwan, Ghana, Thailand dan Mesir manakala selebihnya
merupakan peserta tempatan, dengan sasaran 10,000 pelawat.
Sehingga kini, Syarikat Gitex Global Exhibition Services juga terlibat
penanaman tumbuhan herba dan mempunyai dua rangkaian produk iaitu Malay
Tea dan produk berasaskan minyak kelapa dara.
Syarikat itu juga akan melancarkan produk baharu iaitu minyak wangi berasaskan herba September nanti.
Sumber: www.herbalasia.biz atau Facebook, myherbalasia via sinarharian.com.my
0 komentar:
Posting Komentar